MELAKA, 20 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan pendaftaran tahun satu secara sukarela seawal usia enam tahun di Melaka bermula 2027 bergantung sepenuhnya kepada permohonan dan kesediaan ibu bapa, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Beliau berkata inisiatif itu bukan satu kewajipan, sebaliknya memberi pilihan kepada ibu bapa yang yakin dengan potensi dan kebolehan anak masing-masing untuk menerima pembelajaran formal lebih awal.
“Kerajaan belum mewajibkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki tahun satu. Sekiranya ibu bapa merasakan anak mereka belum bersedia, kanak-kanak berkenaan masih boleh mendaftar ke tahun satu pada usia tujuh tahun.
"Ibu bapa yang memilih pendaftaran awal digalakkan memastikan anak mengikuti pendidikan prasekolah pada usia lima tahun sebagai persediaan sebelum memasuki tahun satu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rahmad berkata pendekatan itu diambil berikutan kerajaan melihat tahap kematangan dan keupayaan kanak-kanak masa kini adalah lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Beliau berkata semua prasekolah selepas ini akan diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan diselaraskan bagi memastikan pelaksanaan pendidikan prasekolah yang lebih tersusun.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mengumumkan bermula tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala tahun satu pula pada usia enam tahun.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang kepada semua pihak membuat persediaan terhadap persekitaran baharu pendidikan, khususnya warga pendidik.
-- BERNAMA
