KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan mempertingkatkan usaha untuk memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui latihan berstruktur, pembangunan kemahiran dan sokongan ekosistem yang lebih meluas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim berkata matlamatnya adalah untuk membantu ribuan PMKS kategori mikro dan kecil berkembang kepada perusahaan sederhana dan akhirnya menjadi syarikat besar dalam rangka pertumbuhan yang mampan.
“KUSKOP tidak mampu melakukannya sendirian kerana ia memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan menyeluruh masyarakat. Kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melihat bagaimana kita boleh memperkasakan PMKS,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Sesi bertajuk Building Up SMEs & Cooperatives itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Sim berkata kerjasama dengan Kementerian Kewangan, institusi kewangan dan agensi ekonomi juga diperkukuh bagi meningkatkan akses kepada modal dan mengurangkan halangan birokrasi.
“Aspirasi kami adalah untuk memperkukuh syarikat Malaysia yang mempunyai jenama , teknologi, tanda dagangan dan paten mereka sendiri serta membina ekosistem yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Menyentuh isu penyalahgunaan pas lawatan sosial, Sim berkata kerajaan perlu memperkukuh dasar kandungan tempatan, termasuk mengutamakan produk dan perniagaan Malaysia dalam syarikat berkaitan kerajaan dan perolehan awam, bagi memastikan perusahaan domestik dapat berkembang dan kekal kompetitif.
“Jika kita tidak mewujudkan ekosistem yang menyokong perniagaan tempatan, mereka tidak akan dapat meningkatkan kualiti. Tanpa pasaran domestik yang kukuh, mustahil untuk memperoleh keyakinan global,” katanya.
Beliau berkata memperkasakan perusahaan tempatan melalui pembangunan kemahiran, peningkatan teknologi dan akses pembiayaan yang lebih baik akan membantu mereka menghadapi peningkatan persaingan daripada produk syarikat asing.
Pada 15 Jan, menurut kenyataan KUSKOP, Sim berikrar memastikan tindakan penguatkuasaan yang pantas terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan yang lain.
-- BERNAMA
