KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri bagi penduduk pedalaman Sarawak menerusi Pasukan Petugas Khas (PPK), yang ditubuhkan bagi menangani isu ketiadaan dokumen rasmi dalam kalangan rakyat negeri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 13,224 permohonan yang dikumpulkan PPK sejak Julai 2023, manakala baki 715 permohonan sedang dalam proses untuk diselesaikan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia merupakan negara maju dan membangun, masih terdapat penduduk yang tidak memiliki sijil kelahiran atau MyKad, sekali gus menyukarkan kehidupan mereka, termasuk dari segi akses kepada pendidikan dan rawatan kesihatan.
“Pegawai tidak tunggu di pejabat. Pegawai pergi ke rumah panjang, mencari orang yang tidak ada dokumen.
“Kalau ini berlaku (tanpa dokumen pengenalan diri), kehidupan mereka jadi payah. Nak sekolah susah, sakit demam nak pergi hospital belanja mahal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai status terkini pengeluaran dokumen bagi individu stateless di pedalaman Sarawak, serta sama ada proses berkenaan dipermudahkan berikutan cabaran geografi negeri itu.
Saifuddin Nasution menjelaskan pasukan itu diletakkan sepenuhnya di bawah Jabatan Premier Sarawak, dengan sokongan KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Beliau berkata, di bawah peruntukan sedia ada, kelahiran perlu didaftarkan dalam tempoh 40 hari di Sarawak dan Sabah, serta 60 hari di Semenanjung, namun faktor geografi menyebabkan ramai penduduk pedalaman gagal berbuat demikian.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution menegaskan proses permohonan di bawah PPK tidak lagi terikat dengan birokrasi Putrajaya seperti amalan biasa.
“Kalau birokrasi biasa, mereka yang tidak ada dokumen perlu membawa anak ke pejabat dan pegawai menunggu di situ. Dalam prosedur baharu, kita pergi mencari mereka,” katanya.
Beliau berkata sejak PPK dilaksanakan, sebanyak sembilan program libat urus khas telah dijalankan, melibatkan keseluruhan 1,117 program menerusi inisiatif berkaitan dokumentasi pengenalan diri.
Perincian program itu katanya menunjukkan sebanyak 236 program dilaksanakan pada 2023, 204 (2024) dan 404 (2025), selain tujuh program dijalankan hanya dalam tempoh minggu kedua dan ketiga Januari tahun ini.
Beliau berkata selain faktor geografi, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pendaftaran kelahiran anak-anak juga menyumbang kepada masalah ketiadaan dokumentasi pengenalan diri.
Selain membantu masyarakat pedalaman di Sarawak, Saifuddin Nasution berkata KDN menerusi JPN juga giat membantu proses dokumentasi masyarakat Orang Asli di Semenanjung.
“Contohnya, program dengan Orang Asli di Kuala Tahan, Pahang… kita berada di sana beberapa hari dan dalam tempoh itu JPN menyelesaikan lebih 200 masalah dokumentasi pengenalan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor ketika mempengerusikan sesi itu, mencadangkan supaya KDN dan JPN serta Jabatan Kemajuan Orang Asli memberi tumpuan kepada suku Orang Asli Negrito di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang masih menghadapi isu ketiadaan dokumen pengenalan diri.
-- BERNAMA
