KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia bagi suku pertama 2026 (S1 2026) dijangka menyederhana menjelang tempoh tiga perayaan utama yang akan datang, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya berkata TIV yang dijangka sederhana itu mungkin bersifat sementara, berikutan pengeluar automotif mengurangkan atau menangguhkan pengeluaran, manakala pengguna dijangka menunda pembelian menjelang kalendar perayaan yang sibuk.
Ini berikutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri semuanya jatuh dalam tempoh yang sama dan ia turut berdasarkan rekod prestasi pada suku sebelumnya.
TIV Malaysia dijangka menurun kepada 725,000 unit pada 2026, menguncup 12 peratus tahun ke tahun (y-o-y), mencerminkan trend serupa yang dapat disaksikan pada 2015 apabila TIV memuncak sebelum susut 13 peratus susulan tempoh pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Penyelidikan kami bagi TIV 2026 merangkumi pelaksanaan peraturan baharu duti eksais berasaskan nilai pasaran terbuka, yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Julai 2026, dengan kenaikan harga yang minimum dijangka berlaku sementara menunggu kemas kini terakhir mengenai mekanisme penetapan harga oleh setiap pengeluar automotif,” kata Kenanga IB.
Selain itu, ia juga didorong oleh peningkatan bahagian pasaran kenderaan keluaran tempatan daripada pengeluar automotif China apabila tempoh pengecualian cukai kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) berakhir, permintaan dalam segmen mampu milik yang berterusan, pelaksanaan dasar baharu pinjaman sewa beli yang bermula 2026, pasaran buruh yang stabil dan pelancaran kenderaan baharu yang menarik.
Semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata pasaran automotif tempatan pada 2025 mengekalkan momentum yang kukuh, melepasi paras 800,000 unit bagi tahun kedua berturut-turut, dengan TIV meningkat 0.5 peratus kepada 820,752 unit daripada 816,747 unit pada 2024.
Bagaimanapun, persatuan itu menjangkakan TIV bagi 2026 akan menurun kepada 790,000 unit, menguncup sebanyak 3.8 peratus berbanding 2025.
Kenanga IB menjangkakan peralihan secara beransur-ansur kepada kenderaan elektrik (EV), yang pada masa ini menikmati pengecualian cukai sehingga 2027 bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
“Kami berpendapat penggunaan EV akhirnya akan meningkat manakala permintaan untuk kenderaan petrol akan mendatar, namun peralihan ini dijangka tidak berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan kekangan infrastruktur.
“Mekanisme subsidi petrol yang baharu ini pada pandangan kami, berpotensi menjadikan peralihan itu lebih perlahan daripada jangkaan, memandangkan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah kini mempunyai kurang insentif untuk beralih daripada enjin pembakaran dalaman kepada EV buat masa ini,” tambahnya.
-- BERNAMA
