LABUAN, 5 Feb (Bernama) -- Seorang penjawat awam kanan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000 pada 2020.
Ismaidi Ismail, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, Ismaidi yang ketika itu merupakan seorang penjawat awam di Labuan didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM10,000 daripada sebuah syarikat yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasmi di jabatannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Labuan pada Mei 2020 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Joe Randy Juster.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Pengurusan kes praperbicaraan ditetapkan pada 13 Mac ini di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah untuk penyerahan dokumen.
-- BERNAMA
