KUANTAN, 6 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu teksi maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM143 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Abdul Rahman Yusoff, 60, yang memandu kereta jenis Perodua Alza cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
Beliau berkata kemalangan pada 11.20 malam itu turut mengakibatkan penumpang kereta tersebut iaitu isteri, anak lelaki dan cucu perempuan mangsa berusia antara 14 hingga 58 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala Perodua Alza dipandu mangsa dan sebuah kereta lain iaitu Proton Wira sedang bergerak dari arah bertentangan.
“Ketika di tempat kejadian pemandu Toyota Vios dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu Toyota Vios berusia 26 tahun cedera manakala pemandu Proton Wira berumur 56 tahun tidak mengalami kecederaan.
Sharif Shai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
