AM

MOF DIPERTANGGUNGJAWABKAN TUBUH PASUKAN PETUGAS TANGANI ISU SALAH GUNA PLS - FAHMI

06/02/2026 08:26 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi menangani isu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS), kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan dan menyelaras pasukan berkenaan termasuk meneliti aspek penguatkuasaan dan penambahbaikan undang-undang bagi mengatasi isu itu.

“Pasukan ini akan diselaras oleh Kementerian Kewangan untuk tindakan pantas, segera dan menyeluruh. Kita jangkakan nanti Kementerian Kewangan, setelah mesyuarat diadakan, akan mengeluarkan kenyataan mengenai pasukan itu,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata pasukan petugas itu akan dianggotai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet minggu lepas berkata tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan PLS atau kelonggaran visa untuk bekerja di Malaysia.

Dalam mesyuarat itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2025 hingga pertengahan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan bahawa laporan Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya membangkitkan statistik yang membimbangkan, iaitu 4,000 kemalangan maut melibatkan golongan muda pada 2024.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Jemaah Menteri telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk mengambil langkah susulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan