PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata usaha reformasi mesti digerakkan melalui tindakan yang kredibel dan memberi impak nyata, bukan sekadar keputusan atau persetujuan pada peringkat dasar bagi merealisasikan sasaran Malaysia berada dalam 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
Menyambut baik perkembangan terbaharu CPI yang merekodkan Malaysia pada skor 52 mata dengan kedudukan ke-54 dunia, EAIC menyeru persepsi umum terhadap rasuah perlu diubah untuk mencerminkan komitmen serius negara terhadap integriti selaras dengan sasaran peningkatan CPI.
“Persepsi dan naratif terhadap rasuah dan salah laku harus dilihat sebagai rompakan terhadap negara, yang menuntut setiap penjawat awam bertindak segera serta berani untuk mencegah kesalahan berakar umbi,” menurut EAIC dalam kenyataan hari ini.
EAIC memaklumkan keadaan itu memerlukan pihak berkuasa dan ketua jabatan untuk lebih terbuka serta sanggup mengambil tindakan yang mungkin tidak popular termasuk melaksanakan syor tatatertib dan menyingkirkan pegawai yang korup sebagai langkah tegas menegakkan integriti dan akauntabiliti institusi.
“EAIC menyambut baik penekanan Transparency International Malaysia mengenai keperincian reformasi institusi dan perundangan, termasuk penubuhan Ombudsman Malaysia yang harus dirancang dan dilaksanakan dengan teliti tanpa sebarang kelompangan, berkesan serta memberi manfaat sebenar yang lebih tinggi berbanding agensi sedia ada,” menurut kenyataan itu.
EAIC memaklumkan selaku Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, mereka akan terus melaksanakan usaha dan mekanisme bagi memperkukuh integriti serta akauntabiliti agensi penguatkuasaan.
“EAIC percaya melalui komitmen terhadap tindakan nyata dan tadbir urus yang teguh, Malaysia mampu mencapai kedudukan 25 teratas CPI dan meneguhkan keyakinan rakyat terhadap integriti negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
