KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Saham tempatan menutup sesi dagangan pagi pada paras rendah, didorong oleh jualan meluas dalam kalangan kaunter utama, seiring penurunan pasaran serantau.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras (FBM KLCI) susut 8.43 mata kepada 1,742.42 berbanding paras 1,750.85 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.96 mata lebih rendah pada 1,747.89 dan bergerak antara 1,741.57 dan 1,751.38 sepanjang sesi.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 637 daripada 299, manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,307 kaunter tidak diniagakan dan 11 kaunter digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion unit dengan nilai RM1.12 bilion.
Kebanyakan indeks serantau utama mencatatkan penurunan pada tengah hari, dengan Indeks Hang Seng merosot 1.64 peratus kepada 26,590.19, Nikkei 225 Jepun turun 0.69 peratus kepada 57,244.40, dan Indeks Straits Times Singapura menurun 1.33 peratus kepada 4,949.96, manakala Indeks Komposit Kospi Korea Selatan naik 0.83 peratus kepada 5,567.83.
Dalam satu nota penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata penanda aras utama itu dijangka meneruskan pergerakan dalam julat semasa, dengan paras rintangan berhampiran 1,771, kerana kedudukan berhati-hati mendominasi menjelang cuti Tahun Baharu Cina dan musim keputusan kewangan bagi Februari, disertai penurunan Wall Street semalam.
“Pada masa yang sama, ketidakstabilan global yang berterusan dan tahap penghindaran risiko yang tinggi terus melembapkan sentimen.
"Sementara itu, kemenangan besar Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi meningkatkan risiko geopolitik serantau, berikutan ia mengehadkan prospek pemulihan hubungan China–Jepun, sekali gus mengukuhkan ketegasan Jepun dalam aspek keselamatan dengan kekal berpihak kepada Amerika Syarikat dan negara yang menyertai Quadrilateral Security Dialogue," katanya.
Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM12.06, Public Bank turun sembilan sen kepada RM5.04, CIMB merosot lima sen kepada RM8.48 dan Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM13.98, manakala IHH meningkat sembilan sen kepada RM8.82.
Dalam senarai kaunter paling aktif, Zen Tech merosot setengah sen kepada setengah sen, Hock Soon yang baharu disenaraikan merosot 6.5 sen kepada 53.5 sen dan Zetrix susut 1.5 sen kepada 80.5 sen, manakala MAG naik satu sen kepada 17.5 sen dan Tanco meningkat tiga sen kepada RM1.41.
Bagi kaunter paling rugi, BLD Plantation turun 50 sen kepada RM14.80, Malaysian Pacific Industries susut 38 sen kepada RM30.62, Hong Leong Bank berkurangan 28 sen kepada RM24.42 dan Hong Leong Financial menurun 26 sen kepada RM22.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 50.75 mata kepada 12,580.14, Indeks FBM Emas Shariah susut 26.18 mata kepada 12,235.46, dan Indeks FBM ACE turun 24.36 mata kepada 4,750.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 178.17 mata kepada 21,584.70, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian turun 0.80 mata kepada 175.93, manakala Indeks Tenaga merosot 3.87 mata kepada 747.08, manakala Indeks Perladangan meningkat 23.54 mata kepada 8,378.57.
-- BERNAMA
