AM

MINDEF LAKSANA PENAMBAHBAIKAN PEROLEHAN ASET ATM, IKUTI SYARAT DITETAP MOF

21/02/2026 06:11 PM

JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan dalam sistem dan pendekatan perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan pembekuan dana perolehan pasukan itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan baharu itu dipersetujui hasil rundingan dengan Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini. 

Beliau berkata antara perkara dipersetujui ialah setiap jawatankuasa perolehan selepas ini mesti dianggotai wakil merentas perkhidmatan, iaitu tidak terhad kepada satu cabang sahaja bagi memastikan ketelusan dan semak imbang dalam proses penilaian.

“Sebagai contoh, jika perolehan dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jawatankuasa itu mesti turut dianggotai wakil daripada perkhidmatan lain (seperti Tentera Darat atau Tentera Udara),” katanya selepas menghadiri Program Penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di sini hari ini. 

Beliau berkata bagi perolehan peralatan dari luar negara, ia mestilah dilakukan secara tender terbuka di peringkat antarabangsa terlebih dahulu bagi mengelakkan penglibatan ejen yang boleh menyebabkan peningkatan kos.

Mohamed Khaled berkata MOF turut meletakkan syarat untuk wakil Kementerian Dalam Negeri menganggotai lembaga tender bagi perolehan besar melibatkan MINDEF.

Sementara itu, beliau berkata pembekuan berkenaan tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan dan operasi pasukan itu kerana tidak melibatkan keperluan kritikal operasi harian ATM.

Menurut Mohamed Khaled, antara perolehan yang dikecualikan daripada pembekuan ialah bekalan makanan untuk anggota yang sedang menjalankan operasi, selain keperluan logistik seperti minyak kenderaan dan alat ganti.

“Contohnya, apabila anggota melaksanakan operasi, mereka memerlukan pembekalan makanan. Begitu juga kenderaan yang memerlukan minyak dan alat ganti. Perkara-perkara ini memang kami mohon untuk dikecualikan daripada pembekuan,” katanya.

Pada 16 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan