ALOR SETAR, 21 Feb (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Kedah dan Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Norizan Khazali.
Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin bersama Raja Muda Kedah dan Tunku Mahkota Kedah turut berkenan menyempurnakan kurniaan secara simbolik kepada pegawai daerah, iaitu kotak barangan makanan untuk diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
Pejabat Tuanku Sultan Kedah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 1,200 kotak kurniaan melibatkan 12 daerah di negeri ini akan disalurkan melalui pejabat daerah masing-masing mulai esok untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Majlis berkenaan mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan institusi diraja Kedah dalam menyantuni rakyat, khususnya sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya.
-- BERNAMA
