LANGKAWI, 22 Feb (Bernama) -- Kemudahan perkhidmatan feri mini berhawa dingin dari Jeti Pelancongan Kuah ke Pulau Tuba berjaya merancakkan aktiviti pelancongan sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat di pulau itu.
Pengurus Pemasaran Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Bhd (Bestuba) Siti Nurul Norzahera Che Mohd Zaher berkata perkhidmatan itu diperkenalkan Oktober tahun lepas dan boleh menampung kira-kira 100 penumpang bagi setiap perjalanan berbanding bot sebelum ini.
“Pelancong ke Pulau Tuba boleh merujuk harga tiket dan jadual perjalanan di Facebook Bestuba dengan perjalanan dari jeti ke pulau mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit sahaja.
“Selain itu, kami mempunyai beberapa bot yang digunakan sejak lama dan penambahan feri mini ini menjadikan operasi lebih efisien,” katanya kepada Bernama.
Siti Nurul Norzahera berkata data operasi bot Bestuba merekodkan jumlah pelancong masuk ke pulau itu antara 6,000 hingga 7,000 sebulan dengan kehadiran mereka melonjak pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.
Beliau berkata kemudahan jadual perjalanan bot dan feri mini yang tersusun serta kekerapan yang konsisten memudahkan pelancong merancang lawatan sama ada secara harian mahupun bermalam.
“Penyediaan jaket keselamatan dan aspek keselamatan penumpang turut diberi penekanan bagi memastikan perjalanan yang selamat dan selesa,” katanya.
Siti Nurul Norzahera berkata kehadiran pelancong secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat melalui perkhidmatan inap desa, restoran makanan laut, sewaan motosikal dan pakej lawatan sekitar pulau.
“Usaha memperkukuh kemudahan pengangkutan laut itu juga selari dengan inisiatif memperluas limpahan ekonomi pelancongan ke kawasan luar bandar sekali gus memastikan pembangunan lebih seimbang dalam ekosistem pelancongan Langkawi,” katanya.
Pulau Tuba terkenal dengan suasana kampung nelayan tradisional dan keindahan alam semula jadi berpotensi sebagai destinasi pelancongan alternatif di Langkawi.
-- BERNAMA
