KUALA NERUS, 22 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh hala tuju sebagai universiti berteraskan kelestarian menerusi pelancaran 26 kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan di dalam kampus.
Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata kenderaan itu termasuk sebuah bas, lima kereta dan 20 skuter e-bike untuk kegunaan kakitangan dan pelajar di 18 Pusat Tanggungjawab (PTJ).
Beliau berkata inisiatif itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkasa teras kelestarian dan pendigitalan kampus, selaras dengan aspirasi nasional serta komitmen universiti menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara.
“Sebagai universiti berteras kelautan, sains marin dan kelestarian, UMT tidak boleh sekadar berbicara mengenai perubahan iklim dan kemampanan tetapi perlu mempraktikkannya dalam tadbir urus, operasi dan budaya kerja harian.
“Kelestarian bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik. UMT mesti berfungsi sebagai hab penyepadu nasional yang menghubungkan kepakaran akademik, industri dan komuniti pesisir dalam satu ekosistem pembangunan mampan,” katanya pada Majlis Pelancaran EV Inisiatif Kampus Lestari di UMT di sini hari ini.
Mohd Zamri berkata agenda kampus bestari adalah sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang UMT yang memposisikan universiti sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi dalam bidang ekonomi biru, perubahan iklim dan kesihatan bumi.
Beliau berkata selain penggunaan EV, UMT turut mempergiat pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kampus pintar menerusi penggunaan teknologi rendah karbon, operasi digital sepenuhnya, sistem keselamatan siber bersepadu serta infrastruktur bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pintar.
Menurut Mohd Zamri, langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga dan sumber, sekali gus memperkukuh kedudukan UMT dalam penarafan kelestarian antarabangsa.
"UMT komited untuk menyelaras ekosistem akademik, penyelidikan dan pemindahan ilmu dengan agenda nasional, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui marin, bioteknologi laut, keterjaminan makanan serta pemuliharaan biodiversiti,” katanya.
Terdahulu, Mohd Zamri dalam Majlis Perutusan dan Amanat 2026 UMT turut berkongsi beberapa pencapaian signifikan universiti sepanjang 2025.
Beliau berkata antara kejayaan besar adalah universiti melonjak di kedudukan 801-850 dalam QS World Rankings 2026 berbanding 1001-1200 pada tahun sebelumnya dan di kedudukan ke-160 terbaik Asia, iaitu pencapaian terbaik sepanjang penglibatan UMT dalam penarafan peringkat serantau dan antarabangsa.
Selain itu, dalam aspek kelestarian dan reputasi institusi pula, beliau berkata kedudukan UMT melalui penarafan Times Higher Education terus konsisten termasuk T.H.E World University Rankings, Young University Rankings serta Impact Rankings.
“Lebih membanggakan, pengiktirafan oleh U.S News & World Report melalui Best Global Universities Rankings telah meletakkan UMT sebagai universiti nombor satu di Malaysia, ke-19 di Asia dan ke-96 dunia bagi bidang Biologi Marin dan Air Tawar.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keberkesanan kepimpinan strategik, malah menjadi bukti kepakaran dalam bidang marin dan sumber akuatik yang diterajui warga UMT diiktiraf di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata sempena sambutan Jubli Perak UMT tahun ini, pihak universiti akan menyusun semula naratif daripada sekadar mendidik dan menyelidik kepada universiti yang membina masa hadapan dalam usaha memperkukuh legasi warisan generasi akan datang.
-- BERNAMA
