KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Perikatan Komuniti Selamat menggesa usaha padu nasional untuk membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar susulan amaran baharu mengenai peningkatan ancaman bahan sintetik terlarang.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye menyeru penguatkuasaan yang lebih ketat melalui peningkatan pemantauan siber, kerjasama risikan rentas sempadan dan hukuman yang lebih berat terhadap pengedar yang menyasarkan kanak-kanak bawah umur.
Beliau menyifatkan trend itu sebagai sangat membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera kerana ia menunjukkan ancaman dadah serius yang menyasarkan golongan muda.
"Dadah sintetik selalunya lebih kuat, tidak dapat diramalkan dan sukar dikesan berbanding dadah tradisional. Bentuknya yang tersembunyi dan kaedah pengedaran moden, termasuk platform digital, menjadikan penguatkuasaan lebih mencabar dan memberikan risiko yang lebih besar kepada pelajar," kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kegagalan untuk menangani trend ini boleh membawa kepada akibat jangka panjang yang serius seperti kemerosotan kesihatan mental, peningkatan penglibatan dalam jenayah dan hakisan modal insan negara pada masa depan.
Untuk pelaksanaan tindakan beliau mencadangkan lima langkah utama, termasuk memperkukuh program pencegahan di sekolah melalui pendidikan antidadah secara berstruktur dan menyediakan kaunselor terlatih serta inisiatif sokongan rakan sebaya.
Perikatan itu juga mengesyorkan peraturan yang lebih ketat terhadap produk berisiko tinggi yang boleh disalahgunakan untuk pengambilan dadah, serta menjalankan ujian rawak terhadap produk yang mencurigakan dalam pasaran.
"Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar bukan sekadar isu penguatkuasaan undang-undang. Ia merupakan kebimbangan kesihatan awam, sosial dan pembangunan negara yang memerlukan tindakan yang diselaraskan secara berterusan," katanya.
Lee juga berkata program pemulihan yang berfokus pada belia perlu diperluaskan termasuk pusat rawatan mesra remaja, sistem sokongan berasaskan keluarga dan skim kesinambungan pendidikan.
"Pendekatan seluruh masyarakat" yang melibatkan ibu bapa, sekolah, komuniti dan institusi sosial merupakan suatu langkah yang penting, katanya.
"Amaran daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu menjadi titik kesedaran kepada negara untuk segera mengambil tindakan tegas. Melindungi anak-anak kita daripada ancaman dadah adalah tanggungjawab bersama dan perlu menjadi keutamaan nasional demi masa depan negara kita," katanya.
Semalam, laporan media yang memetik data AADK mendedahkan bahawa seramai 54,791 kanak-kanak di sekolah rendah dan menengah dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dan ketagihan dadah sintetik pada 2020.
Jumlah itu meningkat sebanyak 73 peratus kepada 94,793 individu pada 2024. Dari Januari hingga September 2025, seramai 76,660 belia direkodkan terlibat dalam penggunaan dadah sintetik.
-- BERNAMA
