PBS SOKONG PEMBANGUNAN HOLISTIK MURID
KUALA LUMPUR -- Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi murid tahun empat dan pelajar tingkatan tiga berkesan menyokong pembangunan holistik golongan itu merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Dari segi akademik, beliau berkata prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat secara berterusan dengan Gred Purata Kebangsaan bertambah baik daripada 4.74 pada 2022 kepada 4.60 pada 2023 dan 4.49 pada 2024.
Peratus calon layak memperoleh sijil turut meningkat daripada 91.6 peratus pada 2022 kepada 93.5 peratus (2023) dan 94 peratus (2024), selain peningkatan ketara penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum kepada 99.81 peratus bagi sesi 2024/2025 berbanding 84.45 peratus pada sesi 2023/2024.
Wong berkata PBS merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Pusat yang dapat memberi gambaran jelas terhadap tahap penguasaan murid.
"Melalui pendekatan ini, guru dapat menilai tahap penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang telah ditetapkan dan merancang intervensi dan sokongan awal yang bersesuaian mengikut keperluan pembelajaran murid," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai fungsi dan keberkesanan PBS di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
KUMPULAN KERJA TEKNIKAL BANGUN PELAN KOMPREHENSIF STABIL HARGA BARANG DI SABAH, SARAWAK - FUZIAH
KUALA LUMPUR -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal bagi membangunkan pelan tindakan komprehensif untuk menstabilkan harga barangan di Sabah dam Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kumpulan itu yang turut disertai pemain industri, antara lain akan melihat aspek kecekapan struktur kos logistik, pemantapan rantai yang berkala serta mengoptimumkan penghantaran antara wilayah.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan hasil dapatan kajian penstabilan harga yang dilaksanakan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan komponen logistik dan pengangkutan merupakan penyumbang terbesar kepada perbezaan harga barangan antara wilayah.
“Ini antara intervensi yang telah dilakukan oleh kementerian untuk memastikan bahawa kita cakna dengan realiti sebenar kos sara hidup,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung cadangan melaksanakan audit harga barangan asas khususnya Sabah dan Sarawak serta usaha memerangi kartel orang tengah bagi mengurangkan kenaikan harga barang di Dewan Rakyat hari ini.
Fauziah berkata antara tindakan lain kementerian adalah pelaksanaan program pengedaran barang perlu di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
LEBIH 2,000 RAIH PENSIJILAN PPT SEPANJANG 2025, PERKASA PEKERJA GIG DAN USAHAWAN MIKRO
KUALA LUMPUR -- Sebanyak 2,322 individu berjaya memperoleh pensijilan menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) sepanjang 2025, dengan hampir 1,800 atau 76.6 peratus daripadanya adalah bumiputera.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata sebahagian besar memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 iaitu 1,244 orang, manakala selebihnya memperoleh SKM Tahap 2, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
“Statistik ini secara jelas menunjukkan bahawa PPT dimanfaatkan secara signifikan oleh pekerja berpengalaman termasuk usahawan mikro, pekerja sektor tidak formal dan individu dalam ekonomi gig yang memerlukan pengiktirafan kompetensi secara rasmi dari sudut bidang yang diminati,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanyakan jumlah individu termasuk pekerja gig yang telah memanfaatkan inisiatif PPT sepanjang 2025.
Menjawab soalan asal Mas Ermieyati mengenai perancangan dan hala tuju kerajaan memperluas PPT sebagai laluan pensijilan kemahiran dan akademik bagi usahawan bumiputera serta pekerja industri tidak formal, Khairul Firdaus berkata pelaksanaan inisiatif itu diperkukuh sebagai laluan pensijilan rasmi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
-- BERNAMA
