KUCHING, 24 Feb (Bernama) -- Seorang pesara jurutera lelaki kerugian lebih RM1.1 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata pada 9 Dis lepas, mangsa yang berusia 57 tahun, telah menerima satu pesanan menawarkan peluang pelaburan dengan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudian menyertai kumpulan WhatsApp 'FYCMAX VIP' dan diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai FYC serta berurusan dengan beberapa individu yang bertindak sebagai pentadbir kumpulan berkenaan.
“Mangsa yang semakin yakin selepas melihat paparan keuntungan dalam aplikasi itu telah melakukan sebanyak 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza... jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan ialah RM1,108,784,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang pelaburan termasuk keuntungan yang diperoleh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
