AM

ERL PERKENAL KIOS DAFTAR MASUK DAN SERAHAN BAGASI LAYAN DIRI DI KL SENTRAL

24/02/2026 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini memperkenalkan kemudahan kios daftar masuk dan serahan bagasi layan diri di KL Sentral, sekali gus meningkatkan pengalaman perjalanan rel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kenyataan hari ini, ERL memaklumkan perkhidmatan baharu itu membolehkan penumpang menyelesaikan urusan penting di lapangan terbang sebelum menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres, yang menawarkan perjalanan lebih pantas dan lancar.

Bagaimanapun, kaunter daftar masuk yang dikendalikan petugas masih disediakan bagi penumpang memerlukan bantuan.

“Perkhidmatan daftar masuk dan serahan bagasi layan diri ini memperlihatkan komitmen ERL untuk menyepadukan perkhidmatan rel dengan operasi lapangan terbang, sekali gus mewujudkan ekosistem perjalanan yang benar-benar lancar,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, kios daftar masuk layan diri di KL Sentral disediakan untuk penumpang Malaysia Airlines (MH), Batik Air (OD), AirAsia (AK), KLM Royal Dutch Airlines (KLM) dan Ethiopian Airlines (ET).

Kemudahan serahan bagasi layan diri pula adalah untuk penumpang Malaysia Airlines dan Batik Air.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ERL Yeow Wei-Wen berkata kemudahan diperkenalkan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam mengutamakan pengalaman penumpang.

“Perkhidmatan ini memberikan fleksibiliti lebih tinggi, menjimatkan masa dan keselesaan khususnya bagi penumpang yang mengutamakan perjalanan yang lancar dan cekap dari bandar ke lapangan terbang,” katanya.

Menurut ERL, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan lebih banyak rakan penerbangan untuk memperluas perkhidmatan di KL Sentral, selaras dengan visi jangka panjang syarikat bagi menyediakan pengalaman perjalanan menyeluruh yang menghubungkan perkhidmatan rel, syarikat penerbangan serta operasi lapangan terbang.

Penumpang yang menggunakan kemudahan daftar masuk dan serahan bagasi layan diri berpeluang menerima barangan ekslusif selagi stok masih ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) Bryan Foong berkata Malaysia Airlines komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar dan dipercayai.

“Menerusi kemudahan daftar masuk dan serahan bagasi layan diri di KL Sentral, penumpang kami boleh menyelesaikan langkah penting dengan mudah di bandar, seterusnya membolehkan mereka terus ke pintu pelepasan dengan lebih lancar dan yakin.

“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi kami untuk mewujudkan ekosistem perjalanan yang mempunyai ketersambungan dan lancar dengan di setiap peringkat iaitu dari pusat bandar ke lapangan terbang berperanan bersama bagi meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya.

 Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy turut mengalu-alukan inisiatif berkenaan dengan menyifatkan perkhidmatan terbabit membolehkan penumpang mengatur perjalanan mereka dengan baik dari pusat bandar hingga menaiki pesawat.

“Di Batik Air, kami sentiasa mencari kaedah untuk meningkatkan setiap aspek pengalaman perjalanan penumpang. Inisiatif seumpama ini membuka laluan kepada pengalaman perjalanan lebih lancar dan kami berharap dapat bekerjasama dengan ERL untuk memperkenalkan lebih banyak inovasi kepada penumpang,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan