SHAH ALAM, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Klang hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak bekas kekasihnya berusia tiga tahun pada 2021.
Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Davandrakumar, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Davandrakumar didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki itu di sebuah rumah di Taman Sentosa Klang antara 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Dis 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Dalam penghakimannya, Norliza berkata mahkamah mendapati tiada hukuman lain yang setimpal terhadap perbuatan lelaki itu melainkan hukuman gantung sehingga mati.
“Mahkamah mendapati dalam kes ini mangsa adalah anak kecil berumur tiga tahun. Mahkamah melihat sendiri laporan bedah siasat yang menunjukkan sekujur tubuh kanak-kanak yang kecil dan kurus.
“Anak kecil tersebut dipukul dengan kejam oleh orang kena tuduh (OKT) dengan menggunakan batang paip, kayu, tali pinggang dan penyangkut baju,” katanya.
Beliau berkata anak kecil yang langsung tidak boleh melawan itu direndam ke dalam air dan akhirnya jasad kecil itu diseret ke bilik dan dibelasah sehingga tidak bernyawa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Farah Aqilah Ahmad Fuad berkata kesalahan membunuh adalah amat serius dan dalam kes itu, tertuduh melakukan satu jenayah keji dengan mendera si mati tanpa belas kasihan.
Beliau berkata lelaki itu memukul si mati selama tiga hari berturut-turut sehingga mangsa mengalami banyak kecederaan, selain kepala mangsa direndam dalam baldi dipenuhi air sehingga hampir lemas.
“Setelah si mati lemah, OKT mencekik dan menggigit leher serta tangan si mati sehingga keadaan si mati tidak bergerak,” katanya dan memaklumkan OKT berhenti memukul si mati hanya selepas kanak-kanak itu tidak bergerak.
Nurul Farah Aqilah berkata lebih menyedihkan, perbuatan tertuduh itu berlaku di hadapan ibu kandung kanak-kanak berkenaan, yang menanggung trauma sehingga ke akhir hayat.
“Walaupun si mati bukan darah daging tertuduh, dia seharusnya melindungi dan menjaga si mati dengan penuh kasih sayang kerana mangsa masih kecil dan memerlukan perlindungan daripada orang dewasa di sekelilingnya,” katanya dibantu TPR Maryam Jamielah Ab Manaff.
Pihak pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa Davandrakumar mempunyai rekod sabitan lampau bagi kesalahan dadah pada 2021, dan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2015.
Peguam Zamri Ibrahim dalam mitigasi pula berkata anak guamnya menyesali perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan memohon satu hukuman ringan diberikan kepadanya.
-- BERNAMA
