AM

KADAR BAHARU TIKET MASUK ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI BERMULA 15 MAC

01/03/2026 04:01 PM

IPOH, 1 Mac (Bernama) -- Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) akan melaksanakan pelarasan harga tiket masuk baharu berkuat kuasa 15 Mac ini bagi memastikan kelestarian operasi zoo, memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar dan meningkatkan kualiti kemudahan serta pengalaman pelawat secara menyeluruh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata pelarasan itu merupakan semakan pertama sejak 2013, dengan mengambil kira peningkatan kos operasi semasa termasuk penyelenggaraan habitat haiwan, kebajikan dan penjagaan veterinar, penyelenggaraan fasiliti awam, keselamatan serta penambahbaikan berterusan infrastruktur. 

"Selain itu, ia (pelarasan harga tiket masuk) juga mengambil kira peningkatan kos bahan makanan haiwan sejajar dengan kenaikan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kadar baharu Zoo Taiping bagi warganegara adalah RM25 untuk dewasa berusia 13 hingga 59 tahun berbanding RM16 ketika ini, manakala kanak-kanak berumur tiga ke 12 tahun (RM12 berbanding RM8) dan warga emas iaitu 60 tahun dan ke atas (RM10 berbanding RM8).

Bagi Night Safari pula, tiket untuk dewasa adalah RM30 berbanding RM20 ketika ini, manakala kanak-kanak RM15 berbanding RM10 dan warga emas kekal RM10.

Untuk bukan warganegara pula, ketika ini harga tiket adalah sama dengan warganegara namun kadar baharu untuk Zoo Taiping bagi dewasa adalah RM40, kanak-kanak (RM20) dan warga emas (RM20), manakala Night Safari pula bagi dewasa (RM50), kanak-kanak (RM25) serta warga emas (RM20).

Mohamed Akmal berkata kesemua kadar tiket adalah termasuk perkhidmatan trem.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen sosial, kemasukan percuma terus diberikan kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta kanak-kanak berumur di bawah tiga tahun melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

"Dengan purata kehadiran pelawat sekitar 600,000 orang setahun, ZTNS kini menempatkan lebih 1,300 haiwan daripada 120 spesies di kawasan seluas 36 hektar dengan laluan pejalan kaki sepanjang 2.5 kilometer," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan ZTNS menegaskan bahawa kadar baharu itu masih kekal kompetitif dan berpatutan berbanding produk pelancongan setara di Malaysia demi memastikan standard kebajikan haiwan serta pengalaman pelawat sentiasa pada tahap terbaik. 

Mohamed Akmal berkata ZTNS juga kekal antara zoo terbesar di Malaysia yang menawarkan harga tiket paling murah dan berpatutan kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan