DUNIA

BEKAS PRESIDEN IRAN MAHMOUD AHMADINEJAD TERKORBAN DALAM SERANGAN UDARA

02/03/2026 01:01 AM

TEHRAN, 1 Mac (Bernama-dpa) -- Bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, dilaporkan terkorban dalam satu serangan udara di Tehran, lapor agensi berita rasmi ILNA pada Ahad menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Ahmadinejad, 69, terbunuh di kediamannya di timur Tehran bersama pengawal peribadinya, lapor ILNA.

Sepanjang lapan tahun memegang jawatan dari 2005 hingga 2013, Ahmadinejad pada mulanya merupakan tokoh pilihan golongan ulama Syiah yang memerintah serta kumpulan pelampau dan konservatif di parlimen.

Bagaimanapun, menjelang akhir penggal perkhidmatannya, timbul keraguan terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan beliau. Dasar nuklearnya telah menyebabkan Iran dikenakan pelbagai sekatan antarabangsa yang seterusnya membawa kepada krisis ekonomi.

Ahmadinejad turut menerima kritikan antarabangsa terutamanya berhubung kenyataan anti-Semitik beliau. Semasa tempoh kepimpinannya, Iran dipulaukan di peringkat antarabangsa berikutan ancaman ketenteraan terhadap Israel serta penafian beliau terhadap peristiwa Holocaust.

Para penyokongnya mula menjauhkan diri daripada beliau, malah kumpulan pelampau juga menganggapnya sebagai tokoh yang kontroversi pada penghujung tempoh jawatannya.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan