EKONOMI

BATIK AIR BATAL PENERBANGAN KL-DUBAI SUSULAN RUANG UDARA TIMUR TENGAH DITUTUP 

01/03/2026 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Batik Air telah membatalkan perkhidmatan penerbangan yang dijadualkan hari ini antara Kuala Lumpur dan Dubai sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan koridor ruang udara tertentu di Timur Tengah.

Menurut syarikat penerbangan itu, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan menilai kesannya terhadap ruang udara serantau dan operasi penerbangan.

“Keputusan ini adalah selaras dengan panduan daripada pihak berkuasa penerbangan yang berkaitan dan memperlihatkan komitmen Batik Air untuk memastikan standard keselamatan operasi yang tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan secara terus dan akan diberikan bantuan sewajarnya termasuk pilihan penjadualan semula penerbangan atau bayaran balik sekiranya berkaitan.

Sehubungan itu, katanya penumpang yang akan menaiki penerbangan yang akan datang ke rantau ini dinasihatkan untuk memantau status penerbangan mereka secara berkala melalui laman web rasmi syarikat penerbangan dan saluran komunikasi.

Batik Air berkata syarikat itu akan terus bekerjasama rapat dengan pengawal selia penerbangan awam, pihak berkuasa lapangan terbang dan rakan operasi, serta akan terus menilai keadaan berdasarkan perkembangan terkini. 

“Pengumuman selanjutnya akan dikeluarkan apabila terdapat maklumat tambahan,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan