KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei atas kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan tahun apabila menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura, hari ini.
Beliau berkata kemenangan itu amat bermakna bukan sahaja buat pemain berkenaan, malah kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perjalanan penuh liku atlet itu, yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
“Bangkit daripada kecederaan dan pelbagai cabaran, beliau membuktikan bahawa kerja keras, disiplin dan keyakinan mampu mengatasi segala rintangan.
"Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan. Malaysia bangga dengan anda,” katanya menerusi laman Facebook malam ini.
Pilihan ketiga berkenaan menepati ramalan apabila hanya mengambil masa 30 minit untuk menewaskan pemain Indonesia yang tidak diletakkan sebagai pilihan, Komang Ayu Cahya Dewi, 21-11, 21-11.
Kejayaan itu menyaksikan pemain ranking ke-55 dunia berkenaan meraih gelaran sulung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak menjuarai Cabaran Antarabangsa Orleans di Paris pada 2016.
Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu turut meraih pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, serta muncul juara Kejohanan Dunia Remaja sebanyak dua kali pada 2015 dan 2018.
-- BERNAMA
