Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, disokong kenaikan harga minyak mentah susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran melonjak melepasi paras RM4,100 satu tan, menjejaki kenaikan harga minyak mentah berikutan perkembangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
“Kami melihat harga CPO disokong pada paras RM4,250 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,380,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata harga minyak sawit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan, didorong prospek harga tenaga yang lebih kukuh.
“Peningkatan ini susulan laporan oleh Kementerian Tenaga Qatar yang menunjukkan harga tenaga dijangka lebih kukuh, sekali gus meningkatkan sentimen dalam pasaran minyak sayuran,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 meningkat RM154 kepada RM4,250 satu tan, April 2026 naik RM156 kepada RM4,336 satu tan dan Mei 2026 menokok RM160 kepada RM4,367 satu tan.
Kontrak Jun 2026 meningkat RM157 kepada RM4,275 satu tan, Julai 2026 naik RM148 kepada RM4,365 satu tan dan Ogos 2026 menokok RM139 kepada RM4,347 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 168,359 lot berbanding 127,102 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 224,475 kontrak daripada 218,820 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan meningkat RM140 kepada RM4,160 satu tan.
-- BERNAMA
