PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Sebanyak 785 kes pelbagai kesalahan dikesan hasil 40,563 pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara, sepanjang 17 hari pelaksanaan Ops Pantau 2026 bermula 19 Feb lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tidak mempamerkan tanda harga, dengan Selangor menjadi negeri tertinggi merekodkan kesalahan itu.
"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, pihak penguat kuasa telah mengesan 785 kes di bawah pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, 613 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM158,800 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM4.275 juta.
"Dalam tempoh sama, KPDN menerima 930 aduan, yang kebanyakan aduan berkaitan peniaga yang tidak meletakkan tanda harga, penggunaan alat timbang tidak tepat dan isu bekalan barangan kawalan di beberapa kawasan," katanya kepada pemberita selepas pemantauan di Anjung Syawal di sini, malam tadi.
Azman berkata sebanyak 13,436 pemeriksaan telah dilaksanakan di bazar Ramadan di seluruh negara dan lapan kes telah direkodkan melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] serta kesalahan melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71], dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].
Bagi pemeriksaan di bazar Raya, beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 934 pemeriksaan telah dilaksanakan dan tiada kes direkodkan setakat Sabtu lepas.
Azman dalam pada itu menggalakkan orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang aduan berkaitan harga barang, bekalan atau aktiviti perdagangan yang meragukan melalui saluran rasmi KPDN agar tindakan segera dapat diambil.
"Kalau boleh jangan tularkan dulu sebab sebahagian daripada kes tular dahulu, ia mendatangkan kesukaran untuk siasatan oleh pihak KPDN kerana bukti-bukti ataupun kesalahan-kesalahan tersebut telah pun tiada bukti lagi.
"Jadi, kita harap serahkanlah aduan tersebut kepada pihak KPDN untuk diambil tindakan dan insya-Allah komitmen kami di bahagian penguat kuasa, kami cuba untuk mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan dengan bekalan, harga dan sebagainya dalam tempoh 24 jam," katanya.
Azman berkata Ops Pantau 2026 dilaksanakan bagi memastikan kestabilan harga barangan serta pematuhan undang-undang perdagangan sepanjang tempoh Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
Pelaksanaan Ops Pantau menumpukan kepada beberapa perkara utama, seperti penandaan harga, penggunaan alat timbang yang betul, jualan murah tidak mengelirukan pengguna, tiada penjualan barangan tiruan dan tiada perkara yang memberi kesusahan dan kecelaruan kepada pihak pengguna.
Beliau berkata pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pelbagai jenis premis perniagaan termasuk bazar Ramadan, kedai runcit, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, mini market, restoran serta kompleks beli-belah.
-- BERNAMA
