ISTANBUL, 9 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Pertahanan Turkiye pada Isnin memaklumkan bahawa sebutir peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran dan memasuki ruang udara Turkiye telah dipintas oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO yang ditempatkan di timur Mediterranean, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi di X, kementerian itu berkata beberapa serpihan daripada peluru itu terjatuh di kawasan tanah kosong di Gaziantep, sambil menambah bahawa tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.
Kementerian itu menambah bahawa Turkiye memberikan "keutamaan tinggi kepada hubungan kejiranan yang baik dan kestabilan serantau," serta menegaskan bahawa "semua langkah perlu akan diambil secara tegas tanpa teragak-agak terhadap sebarang ancaman yang ditujukan kepada wilayah dan ruang udara negara kami."
"Kami juga mengulangi bahawa adalah demi kepentingan semua pihak untuk mengambil perhatian terhadap amaran Turkiye dalam hal ini."
Dalam kenyataan berasingan yang dikongsi di X, Pengarah Komunikasi Turkiye Burhanettin Duran mengesahkan bahawa peluru berpandu itu telah "dipintas dan dineutralkan tepat pada masanya oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO di ruang udara daerah Sahinbey, Gaziantep."
"Kami sekali lagi mengulangi amaran keras kami kepada semua pihak, terutamanya Iran, untuk mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan keselamatan serantau dan meletakkan orang awam dalam risiko," katanya.
Rabu lalu, Kementerian Pertahanan berkata sebutir peluru balistik yang dilancarkan dari Iran ke arah ruang udara Turkiye telah dipintas dan dineutralkan oleh unit pertahanan udara dan peluru berpandu NATO di timur Mediterranean.
Perkembangan itu berlaku ketika Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran, mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
