AM

OPERASI TREN LALUAN PUTRAJAYA KEMBALI SEPERTI BIASA - RAPID RAIL

09/03/2026 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan tren di Laluan Putrajaya kembali seperti biasa pagi ini setelah kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa selesai.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma yang disediakan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan. 

Gangguan perkhidmatan sebelum ini berikutan insiden kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai yang menjejaskan perkhidmatan tren Laluan Putrajaya. 

“Rapid Rail telah menempatkan hampir 180 kakitangan tambahan di stesen-stesen yang terkesan selain menyediakan 20 buah bas perantara percuma sepanjang tempoh gangguan tersebut. 

“Laporan polis telah dibuat dan Rapid Rail sedang bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu

Rapid Rail turut mempertingkatkan pemantauan keselamatan di landasan serta kemudahan dan operasi melaui rondaan berterusan oleh pasukan Polis Bantuan.

Penumpang dinasihatkan menghubungi talian Khidmat Pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585, atau pihak berkuasa terdekat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan di kawasan landasan atau fasiliti tren. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan