AM

DEWAN NEGARA LULUS USUL PENYATA JAWATANKUASA PERATURAN-PERATURAN MESYUARAT

09/03/2026 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan usul Penyata Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat untuk meminda beberapa peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan sebulat suara selepas dibahaskan seramai empat orang Senator.

Azalina ketika mengemukakan usul itu berkata cadangan pindaan itu merupakan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat yang diadakan pada 18 Disember 2025 bertujuan meneliti secara menyeluruh, memperhalusi serta mempertimbang cadangan, pindaan dan penambahbaikan terhadap Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Beliau berkata pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara itu antara lain dicadangkan bagi memperkukuhkan prinsip akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Negara selaras dengan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Selain itu, katanya, ia bertujuan memperkasakan peranan jawatankuasa pilihan serta memastikan penyelarasan menyeluruh dengan pindaan terkini Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sekali gus menjamin keseragaman dan tatacara yang konsisten antara kedua-dua Majlis Parlimen berkenaan.

“Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Negara turut mengambil maklum dan bersetuju bahawa jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas sedia ada terus berkuat kuasa dan meneruskan prosiding yang sedang dan akan dilaksanakan sehingga tamat tempoh Parlimen ke-15.

“Ia selaras dengan usul yang telah dipersetujui oleh Dewan Negara pada 14 Disember 2023 berhubung penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan