KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Syarikat penerokaan laut dalam, Ocean Infinity menamatkan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi tanpa menemui sebarang maklumat atau data baharu yang berkaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata kapal syarikat itu secara rasminya meninggalkan zon pencarian pada 23 Januari, dalam usaha terbarunya untuk mencari MH370.
Sejak memulakan misi itu pada 2018, syarikat berkenaan telah menghabiskan 151 hari di laut dan memetakan lebih daripada 140,000 kilometer persegi dasar laut.
"Penting bagi kami untuk memanfaatkan setiap maklumat dan data yang ada dan kembali, tetapi meskipun dengan segala usaha itu, kami tidak dapat menemuinya," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat itu semalam.
Plunkett berkata skala operasi mencari, baik dari segi geografi mahupun teknologi, hampir mustahil untuk difahami, tetapi beliau melahirkan rasa bangga dengan usaha pasukan dan teknologi canggih yang digunakan sepanjang misi tersebut.
"Gabungan ketelitian saintifik, teknik automasi, robotik dan pengalaman organisasi yang lebih meluas bermakna pencarian ini dijalankan dengan tahap ketepatan dan kelajuan yang tidak pernah terfikirkan pada 2018.
"Saya harap mereka di seluruh dunia yang menganggap perkara ini penting tahu bahawa, walaupun kita tidak mendapat hasil yang kita inginkan, sebilangan besar orang telah melakukan yang terbaik yang mereka mampu," katanya.
Walaupun tidak mencapai hasil yang diharapkan, Plunkett berkata menandakan kawasan yang telah dibuat carian memberikan kejelasan penting untuk usaha masa depan.
"Jika tiada menemukan apa-apa lagi, kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa ia bukanlah tempat yang kita cari. Itu penting - untuk lebih jelas, dan ia akan membantu mereka yang terus mengkaji bukti, memperhalusi pemikiran mereka dan membentuk strategi carian pada masa depan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan daripada keluarga, kerajaan Malaysia dan Australia, serta pelbagai individu dan syarikat yang terlibat dalam usaha tersebut.
Plunkett berkata Ocean Infinity terus komited terhadap misi jangka panjang untuk mencari pesawat yang hilang itu.
"Walaupun fasa pencarian ini telah selesai, komitmen kami belum selesai. Kami terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dengan harapan dapat kembali apabila keadaan mengizinkan," katanya.
Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, bersama 239 penumpang dan anak kapal.
-- BERNAMA
