KUALA TERENGGANU, 9 Mac (Bernama) -- Bapa kepada remaja lelaki yang ditemukan maut selepas motosikalnya dipercayai terbabas di Kampung Bukit Jeruk, di Besut semalam tidak menyangka keengganan anaknya membeli baju raya pada tahun ini merupakan petanda pemergiannya.
Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, dari Seberang Takir dekat Kuala Nerus berkata setiap tahun Ahmad Azreeq Zafreen, 19, yang juga anak sulung daripada lima beradik akan membeli sendiri pakaian raya pada saat-saat akhir.
Bagaimanapun Ahmad Azhar berkata pada awal Ramadan lepas, Ahmad Azreef Zafreen yang mesra dipanggil “Along” memberitahu ibunya, Zaleha Awang, 47, bahawa dia tidak mahu membeli pakaian baharu.
"Saya anggap itu perkara biasa (tidak mahu beli pakaian), tak sangka rupanya petanda dia nak pergi untuk selama-lamanya. Lagipun tidak ada perubahan dari segi sikap atau apa-apa yang pelik pada dirinya," katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Ahmad Azhar berkata kehilangan arwah amat dirasai semua ahli keluarga kerana sikapnya yang baik, penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap adik-adiknya yang berusia lapan hingga 16 tahun.
Menurut Ahmad Azhar, Allahyarham juga baru beberapa bulan bekerja di sebuah restoran di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu selepas menamatkan kursus kulinari selama enam bulan di sebuah institusi di bawah Institut Makanan Malaysia (FIM).
"Kalau di rumah dia sangat rajin memasak dan bantu kerja-kerja lain. Walaupun sedih, saya pasrah dengan ketentuan Ilahi.
“Semoga pemergiannya pada Ramadan ini mendapat rahmat daripada Allah. Motosikal yang dia tunggang waktu kemalangan itu pun baru dibelinya dua bulan lepas," katanya menambah jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara dekat sini hari ini.
Sebelum ini Bernama melaporkan Ahmad Azreeq Zafreen dilaporkan hilang pada awal pagi Jumaat ketika dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands, Pahang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha R15, manakala ibu bapanya bersama ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.
Bagaimanapun dia ditemukan maut oleh orang awam kira-kira 6.40 petang semalam dalam semak di Kampung Bukit Jeruk, Besut dipercayai akibat terbabas.
-- BERNAMA
