DUNIA

PEZESHKIAN GESA KOMUNITI ANTARABANGSA KECAM "JENAYAH" AS-ISRAEL

11/03/2026 09:16 PM

TEHRAN, 11 Mac (Bernama-MNA) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menegaskan keperluan komuniti antarabangsa untuk mengecam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan jenayah oleh Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel terhadap Iran di forum antarabangsa, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Presiden Pezeshkian menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin lewat Selasa bagi membincangkan kerjasama dua hala serta perkembangan terkini di rantau berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Rusia atas pendirian yang menyokong Iran.

Pezeshkian merujuk kepada serangan terbaru oleh AS dan rejim Israel yang menurutnya menyasarkan infrastruktur awam serta orang awam dan menegaskan yang komuniti antarabangsa perlu mengecam tindakan itu di forum antarabangsa.

Kedua-dua presiden juga bertukar pandangan mengenai isu berkepentingan bersama serta menekankan kepentingan meneruskan rundingan dan penyelarasan antara Tehran dan Moscow pada peringkat tertinggi.

-- BERNAMA-MNA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan