AM

FGV LANCAR VIDEO MUZIK ‘SAJI MENYALA LAGI RAYA’ SEMARAKKAN AIDILFITRI

12/03/2026 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama produk utamanya, SAJI melancarkan video muzik bertajuk ‘SAJI Menyala Lagi Raya’ bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mesej kebersamaan yang menyatukan keluarga dan insan tersayang.

Ketua Bahagian Produk Pengguna FGV Aznur Kama Azmir berkata pelancaran video berkenaan merupakan kemuncak kepada kempen ‘SAJI Menyala Lagi Raya’ sempena Ramadan dan Syawal, tahun ini. 

“Sudah menjadi tradisi setiap tahun kami menghasilkan karya raya SAJI sama ada dalam bentuk filem pendek yang bergenre komedi atau video muzik.

“Ia bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyampaikan nilai kekeluargaan serta kemeriahan Aidilfitri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran video muzik itu, yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di sini malam tadi.

Aznur Kama berkata video muzik itu mengangkat tema semangat raya yang tidak pernah padam, selain menonjolkan bagaimana Ramadan menjadi titik penyatuan keluarga serta menghidupkan kembali tradisi sehingga tibanya Syawal.

Video berdurasi tiga minit itu membariskan pelakon dan penyanyi terkenal tanah air seperti Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman, Vanidah Imran, Nadia Aqilah dan Anas Rizuan sebagai teraju utama, selain penampilan khas Bront Palarae, Sara Ali, Amerul Affendi serta Ahmad Merrah.

Orang ramai boleh menonton video muzik ‘SAJI Menyala Lagi Raya’ menerusi semua platform media sosial rasmi SAJI (@sajimalaysia) di TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.

Aznur Kama yang juga Pegawai Bertanggungjawab Delima Oil Products Sdn Bhd berkata bagi memeriahkan lagi sambutan tahun ini, kempen itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pengenalan maskot rasmi SAJI, iaitu ‘Kak Ji’ sebagai teman kulinari rakyat Malaysia.

"Kak Ji diperkenalkan sebagai teman kulinari comel serta dekat dengan rakyat Malaysia dan SAJI turut melancarkan dua produk baharu, iaitu Tepung Goreng Rangup dan serbuk Pelengkap Rasa," katanya.

Beliau berkata kempen turut disertai program tanggungjawab sosial korporat SAJI Seikhlas Hati, selain penganjuran Peraduan SAJI Beli & Menang, yang menawarkan hadiah bernilai hingga RM50,000, termasuk hadiah utama berupa pakej umrah serta pakej percutian tajaan Felda Travel.

Selain itu, aktiviti pensampelan produk turut dijalankan di pasar raya terpilih seluruh negara bagi memberikan peluang kepada pengguna merasai sendiri kualiti masakan menggunakan produk keluaran SAJI.

Aznur Kama berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan FGV untuk mendekati masyarakat, selain menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui penyediaan produk yang berkualiti, berkhasiat dan mampu milik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan