Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak ekoran konflik di Asia Barat.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9240/9280 berbanding dolar AS daripada 3.9175/9230 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk melepaskan rizab minyak gagal meredakan kebimbangan pasaran.
Semalam, IEA mengesyorkan pelepasan 400 juta tong minyak daripada stok simpanan, langkah terbesar dalam sejarahnya, untuk mengekang kenaikan harga minyak.
“Kerajaan Iran menetapkan beberapa syarat untuk rundingan damai, namun perkara itu dilihat sukar dipenuhi oleh AS dan Israel. Ini menunjukkan konflik ketenteraan yang sedang berlaku mungkin berlarutan,” katanya kepada Bernama.
Pada masa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 4.71 peratus kepada US$96.14 setong.
Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan prestasi rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding yen Jepun kepada 2.4720/4746 daripada 2.4719/4755 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding pound British kepada 5.2554/2608 daripada 5.2545/2619.
Bagaimanapun, unit tempatan lebih kukuh berbanding euro kepada 4.5361/5408 daripada 4.5412/5475.
Ringgit mencatatkan prestasi dagangan bercampur-campur kebanyakan berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.3257/3452 daripada 12.3386/3637 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.62/6.64.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0786/0820 daripada 3.0754/0800 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.6 daripada 232.0/232.4.
-- BERNAMA
