AM

AADK BUKA SESI LAWATAN KHAS KELUARGA SEMPENA AIDILFITRI

12/03/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuka sesi Lawatan Khas Keluarga atau penjaga bagi klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif tersebut akan dilaksanakan di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara bagi memperkukuh ikatan kekeluargaan serta memberikan sokongan moral kepada klien.

Sesi lawatan tersebut akan bermula pada 29 Mac hingga 2 April bagi PUSPEN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala di negeri-negeri lain akan bermula pada 30 Mac hingga 3 April.

"Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada keluarga untuk menyaksikan sendiri kemajuan positif klien selain menjadi pendekatan terapeutik dalam menyokong kepulihan mereka," menurut kenyataan itu.

AADK meminta keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan berkenaan untuk menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing bagi tujuan penyelarasan.

Permohonan boleh dibuat menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, surat atau emel kepada pegawai berkaitan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PUSPEN berkaitan atau talian Hotline AADK di 1-800-22-2235 atau menerusi WhatsApp di talian 019-626 2233

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan