CHUKAI, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 300,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 26 sempena Aidilfitri dari 19 hingga 23 Mac.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah itu melibatkan 56,000 hingga 66,000 kenderaan sehari, yang masuk ke negeri itu melalui Jalan Persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Sebanyak 385 pegawai dan anggota polis trafik negeri ini akan dibekukan cuti pada hari raya bagi memastikan kelancaran trafik dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Mohd Khairi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri di Sekolah Menengah Agama Al-Falah di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Terengganu Maliaman Kassim.
Selain itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti 20 lokasi hitam kemalangan maut pada musim perayaan melibatkan 17 lokasi di Jalan Persekutuan dan tiga di Jalan Negeri.
Beliau berkata daripada jumlah itu, Besut dan Marang masing-masing mempunyai empat lokasi hitam, Setiu dan Kuala Terengganu (masing-masing tiga) manakala Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman (dua setiap daerah).
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata 23 hotspot kawasan sesak dikenal pasti, iaitu lima di Kuala Terengganu dan Besut; Kemaman, Dungun dan Marang (masing-masing tiga lokasi) manakala Setiu dan Hulu Terengganu (dua di setiap daerah).
Selain itu, beliau berkata kemalangan jalan raya yang direkodkan pada Ops Selamat 25 sempena Aidilfitri 2025 ialah 379 kes, meningkat daripada 363 kes pada operasi sama hari raya tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut menunjukkan penurunan, iaitu lapan kes pada tahun lepas berbanding 11 pada 2024.
-- BERNAMA
