SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Hasil siasatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap empat individu termasuk seorang lelaki berusia 65 tahun yang ditahan berkaitan ajaran sesat bulan lepas, telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak pendakwaan bagi memastikan sebarang kes berkaitan ajaran sesat dapat ditangani mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Keempat-empat mereka telah dibebaskan dalam tempoh 24 jam selepas ditahan kali pertama sebelum ditangkap untuk kesalahan kedua … namun, sebarang tindakan penguatkuasaan termasuk tangkapan tidak boleh dilakukan hanya berdasarkan desakan pihak tertentu tanpa asas undang-undang yang kukuh.
“Dalam sistem perundangan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menangkap seseorang tanpa justifikasi yang jelas dan setiap tindakan perlu melalui proses siasatan serta memenuhi keperluan undang-undang sebelum tangkapan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Ihya Ramadan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) Kepada Masjid dan Surau di Negeri Selangor, di Dewan Sakinah Menara Selatan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan JAIS menahan seorang lelaki yang disyaki mengaku sebagai Rasul di sebuah premis di Rawang bersama dengan tiga individu lain termasuk seorang wanita dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan suatu upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Terdahulu pada majlis itu, JAIS menyalurkan peruntukan sebanyak RM228,200 kepada penerima dana Ihya’ Ramadan terdiri daripada institusi pendidikan, masjid, surau serta persatuan di sekitar Selangor menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).
Mohd Shahzihan yang juga Pengerusi TIJARI berkata sumbangan khas itu diberi bertujuan membaik pulih kemudahan masjid dan surau.
“Beberapa institusi terpilih, iaitu Masjid Jamiul Muhammadiyah Kampung Kuantan menerima sumbangan sebanyak RM50,000, Surau Darul Islam berjumlah RM50,000, Masjid Nurul Iman Rawang (RM50,000), Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Airport (RM28,116.50) dan Masjid Telok Menegon (RM10,000).
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih tersebut adalah sebanyak RM188,116.50,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Dana Insentif kepada calon jemaah Haji Muassasah tajaan penuh Kerajaan Negeri Selangor bagi musim haji 2026M/1447H dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM29,000.
Menerusi dana itu, setiap calon jemaah menerima RM1,000 sebagai wang saku bagi membantu menampung perbelanjaan sepanjang berada di Tanah Suci.
-- BERNAMA
