Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur melantun semula untuk ditutup tinggi pada Khamis, disokong oleh pemulihan harga minyak mentah di tengah-tengah isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau.
Seorang peniaga berkata harga getah juga terus disokong oleh bekalan yang semakin terhad seperti yang ditunjukkan oleh statistik dan laporan yang mencatatkan penurunan dalam pengeluaran.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya tersekat berikutan kebimbangan terhadap inflasi yang berpunca daripada konflik yang semakin meningkat di Asia Barat, serta minat belian yang lemah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak melonjak pada Khamis apabila Iran meningkatkan serangan ke atas infrastruktur-infrastruktur minyak dan pengangkutan di seluruh Asia Barat, mencetuskan kebimbangan konflik itu akan berlanjutan dan mengganggu aliran minyak melalui Selat Hormuz.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent meningkat 6.16 peratus kepada US$97.63 setong.
“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengeluaran getah asli Malaysia menurun 0.4 peratus kepada 28,579 tan pada Januari 2026 daripada 28,684 tan pada Disember 2025 dan susut 5.9 peratus daripada 30,357 tan tahun ke tahun,” katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 0.5 sen kepada 790 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut lima sen kepada 660 sen sekilogram.
-- BERNAMA
