Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Tanggal 15 Mac 2022, menjadi detik bermakna buat Datuk Onn Hafiz Ghazi apabila beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 bagi menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Memikul amanah besar mengemudi negeri pada usia muda ketika itu, 44 tahun, sudah pasti bukanlah suatu perkara mudah, apatah lagi ketika sektor ekonomi dan pelancongan di Johor berdepan tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19 serta penutupan sempadan dengan Singapura.
Namun selepas empat tahun, pemimpin muda daripada keluarga legasi politik terkemuka itu berjaya membuktikan kredibilitinya memimpin Johor mengikut acuannya sendiri, berpandukan nasihat dan amanat daripada Istana Johor yang sentiasa menjadi pegangannya.
Dalam temu bual bersama Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Raju Durar Raj baru-baru ini, Onn Hafiz merumuskan bahawa tempoh empat tahun pentadbiran kerajaan negeri menunjukkan trajektori prestasi yang sangat positif, khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan hasil negeri.
Hasil negeri yang pada awal pentadbiran kurang daripada RM2 bilion, kini meningkat kepada sekitar RM2.67 bilion tahun lepas, dan berdasarkan unjuran semasa termasuk hasil gas, Johor berpotensi mencatat lebih RM3 bilion, sekali gus menjadi rekod pencapaian tertinggi bagi negeri itu.
Lebih membanggakan, Johor turut diumum sebagai negeri tertinggi merekod pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas, sekali gus umpama hadiah buat ulang tahun pentadbiran keempat Onn Hafiz pada 15 Mac ini.
Bagaimanapun, beliau berkata prestasi mahu pun kejayaan kerajaan negeri bukan hanya diukur melalui angka atau statistik pelaburan, sebaliknya bergantung kepada maklum balas dua pihak utama iaitu Istana Johor dan rakyat sendiri.
“Sebab itu setiap hasil negeri, kita pastikan ia dipulangkan kepada rakyat. Ia bukan baru bermula tahun ini, sudah dua tiga tahun setiap kali kita mendapat hasil negeri yang lebih kita pastikan bahawa ia dipulangkan balik pada rakyat,” katanya sambil menambah Bantuan Kasih Johor antara inisiatif dilaksanakan.
Onn Hafiz, 47, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom berkata antara rahsia membolehkan Johor menjadi destinasi utama pelabur luar adalah kestabilan serta konsistensi dasar dan polisi kerajaan.
Beliau berkata kerajaan negeri yang mentadbir ketika ini menikmati majoriti besar, selain sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dengan mengurangkan birokrasi bagi memudahkan pelabur menjalankan perniagaan di Johor, serta tegas menolak unsur rasuah.
“Semua kini terbuka luas buat Johor. Orang bercakap tentang potensi Johor ini daripada dulu lagi, dan di bawah kepimpinan ini kita nak pastikan bahawa potensi itu menjadi realiti.
“Ini menerusi kesepaduan antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang agresif nak melihat pembangunan negeri dan pada masa sama hubungan baik Johor, Singapura dan Kerajaan Malaysia adalah pada tahap yang kita tidak pernah lihat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata Singapura, yang memiliki reputasi sangat baik dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi, turut dijadikan model rujukan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelabur yang berhasrat menanam modal di Johor.
“Singapura telah menetapkan piawaian itu dan kita mahu mengikutinya,” katanya yang juga cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO yang pertama Datuk Onn Jaafar.
Perkembangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, walaupun mendukacitakan namun menurut Onn Hafiz, ia memberi peluang kepada rantau Asia Tenggara untuk menonjolkan diri sebagai kawasan yang selamat dan stabil untuk pelaburan.
“Kita doakan konflik di Asia Barat akan reda, tetapi ini juga peluang untuk kita menunjukkan bahawa rantau ini adalah kawasan yang selamat, khususnya melalui ekosistem zon ekonomi khas yang sedang berkembang,” katanya.
Dengan gerak kerja pantas, agresif dan turun padang, Onn Hafiz berkata pada awalnya ada dalam kalangan exco beliau yang merajuk dan marah, kerana sukar untuk beradaptasi dengan cara kerja beliau, namun lama-kelamaan mereka mula menyesuaikan diri.
“Apabila kita turun padang, kita bukan sekadar melihat skop projek semata-mata, tetapi turut meneliti keadaan sekeliling supaya perkhidmatan diberikan kepada rakyat bukan sekadar biasa-biasa, sebaliknya luar biasa,” katanya.
Beliau turut menekankan formula “3T 1M” sebagai tunjang gerak kerja iaitu Turun Padang, Teamwork, Te Syie Te Pan / 特事特办 (hasil luar biasa, pendekatan luar biasa), dan Micromanage (pengurusan terperinci).
Onn Hafiz berkata T ketiga, iaitu Te Syie Te Pan yang dipelajarinya ketika mengadakan lawatan kerja ke Shenzhen, China, dianggap paling penting kerana ia menekankan keperluan untuk melakukan kerja luar biasa bagi mendapatkan hasil luar biasa.
Beliau berkata perkara ini dapat dibuktikan apabila Shenzhen yang dahulunya hanya sebuah perkampungan nelayan, berjaya membangunkan ekonominya hingga nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah itu mengatasi Hong Kong dalam tempoh hanya empat dekad.
Ditanya visinya pada masa hadapan, Onn Hafiz berkata ia berbalik kepada agenda pembangunan negeri yang telah dirancang menerusi Maju Johor 2030, bertujuan memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri maju yang progresif, inklusif dan mampan menjelang 2030.
“Kita nak bagi perkhidmatan luar biasa sebab kita anggap Bangsa Johor ini rakyat yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata sasaran menjadikan Johor negeri maju bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan bangunan pencakar langit, malah turut melibatkan perubahan paradigma dalam budaya bekerja serta cara berfikir masyarakat.
-- BERNAMA
