AM

PENTERNAKAN ITIK GUNA KAEDAH BERSIH HASILKAN TELUR ASIN BERKUALITI

14/03/2026 08:23 PM

JASIN, 14 Mac (Bernama) -- Setiap kali tiba musim perayaan, pelbagai hidangan daripada juadah tradisional hingga pastri moden menghiasi meja makan, dengan telur asin menjadi bahan penting yang menambah rasa lemak masin dalam sos, pastri dan kuih-muih.

Lazimnya, telur asin yang dijual di pasaran disalut dengan tanah hitam atau campuran tanah dan sekam padi sebelum diperam bagi menghasilkan rasa masin yang menjadi kegemaran ramai.

Seorang penternak dari Kampung Baru Sedanan, Selandar, Mohd Shafie Md Isa, 44, berkata kaedah tradisional itu diubah dengan pendekatan lebih bersih apabila telur itik gred A dan AA dicuci terlebih dahulu sebelum direndam dalam air garam suam yang dimasak hingga mendidih bagi memastikan larutan itu bebas bakteria.

Beliau yang mengusahakan empat kandang itik di tanah seluas kira-kira satu ekar berkata kaedah itu diperkenalkan bagi memastikan kualiti dan kebersihan telur asin yang dihasilkan sentiasa terjamin, khususnya bagi kegunaan pengusaha makanan dan pengguna Muslim.

“Cara tradisional biasanya telur tidak dicuci dan terus disalut dengan tanah bercampur garam sebelum diperam. Saya pilih kaedah lebih bersih, iaitu telur dicuci dahulu sebelum direndam dalam air garam yang dimasak.

“Cara ini bukan sahaja memastikan telur itu bersih, malah menjadikan telur tidak berbau hanyir apabila dimakan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mohd Shafie ketika menceritakan bagaimana minat terhadap ternakan itik tercetus berkata semuanya bermula sekadar hobi pada penghujung 2018 selepas tertarik melihat rakan memuat naik gambar hasil telur itik di media sosial.

Beliau kemudian membeli kira-kira 50 ekor itik untuk dipelihara di kawasan rumah, namun mengakui pada peringkat awal berdepan pelbagai cabaran kerana kurang pengalaman dalam bidang penternakan.

“Daripada 50 ekor yang saya bela, kira-kira 10 ekor mati kerana kurang pengalaman tapi daripada situ, saya belajar dan mula menambah ternakan secara berperingkat,” katanya, yang ketika itu masih bekerja di sektor swasta.

Beliau berkata titik perubahan berlaku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila permintaan terhadap telur itik meningkat berikutan banyak penternak lain menghentikan operasi.

“Ketika itu saya mendapat kebenaran khas untuk menghantar bekalan telur ke beberapa pasar raya di Kuala Lumpur. Walaupun banyak penternak yang menutup kandang, permintaan sebenarnya meningkat.

“Daripada situ, saya nampak potensi besar dalam industri ini dan mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada ternakan itik,” katanya.

Kini, ladang itu menempatkan kira-kira 3,000 itik penelur baka Khaki Campbell, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan di kawasan itu mengikut lesen Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Mohd Shafie berkata setiap hari ladang itu mampu menghasilkan antara 2,500 hingga 2,800 biji telur, bergantung kepada kitaran itik bertelur yang biasanya berlangsung selama tiga hari berturut-turut sebelum berehat satu atau dua hari.

Selain menjual telur mentah, sebahagian hasil ladang turut diproses menjadi telur asin serta kuning telur yang mendapat permintaan tinggi pengusaha bakeri, restoran dan pasar raya di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur, termasuk peniaga makanan di bazar-bazar Ramadan.

Sebagai tambahan, ladang itu juga tidak menggunakan kolam air yang besar seperti kebanyakan ladang itik lain bagi memastikan operasi penternakan tidak menjejaskan komuniti sekitar, terutama aspek kebersihan dan pengurusan bau.

Mohd Shafie berkata ruang air yang disediakan hanya bersaiz sederhana bagi membolehkan itik berenang serta membersihkan bulu, di samping memudahkan pemantauan kualiti air dan tahap kesihatan ternakan.

Selain itu, beliau turut menggunakan semburan mikroorganisma efektif (EM), kaedah yang dipelajari melalui kursus anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi membantu mengawal bau serta memastikan persekitaran ladang kekal bersih.

Melihat kepada permintaan yang terus meningkat terutama menjelang musim perayaan, Mohd Shafie merancang untuk memperluaskan lagi penternakan itik serta pasaran produk berasaskan telur yang dihasilkan.

Beliau berkata kuning telur asin sahaja kini semakin mendapat permintaan pengusaha bakeri untuk digunakan dalam pembuatan pelbagai hidangan termasuk pastri dan sos makanan.

“Saya berharap dengan pengalaman yang ada dan bantuan pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), produk berasaskan telur itik ini dapat menembusi pasaran yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan