AM

PERKHIDMATAN ETS JB SENTRAL-SEGAMAT TAWAR PERJALANAN LEBIH PRAKTIKAL

17/03/2026 01:50 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan tren elektrik (ETS) Johor Bahru Sentral (JB Sentral)-Segamat menawarkan alternatif perjalanan yang bukan sahaja sahaja pantas, malah lebih praktikal kepada mereka yang berulang-alik antara selatan dan utara Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pengguna mempunyai pilihan perjalanan lebih efisien dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam 35 minit. 

Beliau berkata setiap tren mampu menampung sekitar 300 penumpang pada satu masa dengan kelajuan hingga 140 kilometer sejam, sekali gus menjadikannya antara pilihan utama pengangkutan awam.

"Saya berkesempatan merasai sendiri pengalaman perjalanan berkenaan dengan pelbagai fasiliti disediakan termasuk tandas yang bersih, ruang menunaikan solat dan kafe, yang juga mesra Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) atas inisiatif menyediakan perkhidmatan tersebut dan berharap agar kemudahan itu terus dipertingkatkan pada masa hadapan.

Perkhidmatan ETS ke Segamat telah bermula pada 15 Mac tahun lepas, sebagai sebahagian daripada projek landasan berkembar Gemas-JB Sentral.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan