JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI MENYAMAR PEGAWAI IMIGRESEN

24/03/2026 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen sebelum melakukan samun terhadap warga asing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari semalam di sini.

“Dalam tangkapan berkenaan, polis juga berjaya merampas pakaian, sebuah motosikal, topi keledar dan beg Grab yang digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sazalee berkata modus operandi suspek adalah dengan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai  imigresen kepada lelaki warga asing dengan meminta menyerahkan pasport sebelum melarikan dompet dan wang tunai milik mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan dua kes samun yang dilaporkan. Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan