AM

KERAJAAN SIAP SEDIA HADAPI IMPLIKASI EKONOMI AKIBAT KONFLIK BERPANJANGAN DI ASIA BARAT - MKN

24/03/2026 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kerajaan terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik berpanjangan di Asia Barat yang dijangka membawa implikasi ekonomi bukan sahaja kepada negara, malah di peringkat global secara keseluruhannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini.

Perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan dalam Sidang Khas MKN hari ini bagi menangani kesan ketidaktentuan konflik di rantau itu yang telah berlangsung selama dua minggu.

MKN memaklumkan sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan disusuli dengan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas esok bagi membincangkan langkah-langkah seterusnya.

“Malaysia menyambut baik perkembangan mutakhir yang menyaksikan semua pihak terlibat menghentikan serangan selama lima hari, selain menyifatkan ruang berkenaan harus digunakan untuk rundingan secara serius dan ikhlas.

"Mesyuarat mengambil maklum bahawa perkembangan terbaharu ini telah menyebabkan penyusutan harga minyak antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Selain itu, MKN memaklumkan Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif menyumbang kepada penyelesaian konflik.

"Pada hari ini, Perdana Menteri telah mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Malaysia mempunyai beberapa ciri penting untuk memainkan peranan ini. Sebagai contoh, kecuali Israel, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain utama dalam isu ini, pendirian konsisten, berkecuali dan sikap berterus-terang juga membuatkan Malaysia dihormati," menurut kenyataan itu.

Dalam sidang khas sama itu, isu keselamatan negara turut diberi penekanan termasuk aktiviti agensi perisikan di Malaysia, pencegahan aktiviti penyeludupan bahan api serta pemantauan keadaan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan.

Kenyataan itu turut memaklumkan Kerajaan Malaysia sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan kebajikan rakyat terbela sewaktu keadaan mencabar ini.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan