KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Jepun menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) bagi memastikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran di peringkat serantau dan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi yang turut menyentuh pelbagai kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin menghargai serta menilai tinggi perkembangan hubungan erat yang telah terjalin sejak 1957 yang kini diperkukuh melalui CSP.
"Kami menyentuh kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk keamanan dan keselamatan, ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi," kata beliau menerusi hantaran Facebook.
Selain isu dua hala, Anwar berkata beliau turut berkongsi pendirian Malaysia berhubung situasi di Asia Barat yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa.
"Kami bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala serta memainkan peranan konstruktif dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global," kata Anwar.
-- BERNAMA
