KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Weng Meng Industries Sdn Bhd diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) kerana membangunkan pintu tahan api pertama di negara ini yang diperbuat daripada biojisim batang pokok kelapa sawit, sekali gus melakar pencapaian penting dalam aspek kelestarian dan inovasi perindustrian.
Dalam kenyataan hari ini, MBR memaklumkan inovasi perintis itu telah menukarkan sisa pertanian kepada bahan binaan berprestasi tinggi, yang menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam pembuatan lestari dan penyelesaian pembinaan hijau.
Malaysia, sebagai satu daripada pengeluar minyak sawit terbesar dunia, mengurus kira-kira 5.6 juta hektar ladang, yang merangkumi kira-kira 17 peratus penggunaan tanah negara.
Menurut kenyataan itu, kitaran penanaman semula yang berterusan menghasilkan sejumlah besar biojisim batang pokok kelapa sawit setiap tahun, yang sebelum ini kurang digunakan disebabkan oleh kekangan teknikal dan ekonomi.
“Kejayaan Weng Meng Industries menangani cabaran sekian lama ini dengan mengubah sisa ladang kepada komponen binaan yang berfungsi, telah mengurangkan impak alam sekitar sambil membuka aliran nilai perindustrian baharu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MBR Jwan Heah yang menekankan kepentingan pencapaian itu yang lebih luas, berkata rekod kebangsaan itu bukan sekadar inovasi Malaysia, tetapi juga mencerminkan potensi lebih besar penggunaan semula bahan buangan yang mudah diperoleh.
“Pencapaian ini langkah bermakna ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan melindungi planet kita.
“Sebagai rekod yang selaras dengan agenda kelestarian negara, kami berharap pencapaian ini memberikan inspirasi kepada lebih banyak inovasi yang menyumbang kepada kemajuan alam sekitar dan perindustrian Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.
Pengarah Urusan Weng Meng Industries George Yap berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memajukan penyelesaian mesra alam dengan mengubah sisa pertanian kepada bahan bernilai tinggi.
“Dengan menghasilkan teras pintu tahan api menggunakan biojisim batang pokok kelapa sawit, kami membuktikan bahawa sisa ladang dapat digunakan semula menjadi produk yang tahan lama, selamat dan berdaya maju secara komersial,” katanya.
-- BERNAMA
