AM

HORMATI MARUAH MANGSA DAN KELUARGA, AMALKAN KAWALAN EDITORIAL LEBIH TEGAS - CMCF

02/04/2026 07:39 PM

CYBERJAYA, 2 April (Bernama) -- Wartawan dan pencipta kandungan diseru mengutamakan maruah mangsa serta mengamalkan kawalan editorial yang lebih ketat ketika melaporkan tragedi, termasuk dalam penyiaran visual, bagi mengelakkan trauma berulang dan gangguan terhadap keluarga yang sedang berduka.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood berkata industri perlu membezakan antara kepentingan awam dan perhatian awam, sambil menegaskan bahawa permintaan terhadap visual sensasi tidak menghalalkan eksploitasi penderitaan peribadi.

“Perkara paling utama ialah kepentingan awam. Jika kita mahu menyiarkan berita atau apa-apa berkaitan isu semasa, kepentingan awam adalah yang utama. Perhatian awam bukanlah kepentingan awam.

“Hanya kerana orang ramai mahu melihat gambar-gambar ini tidak bermakna ia demi kepentingan mereka,” katanya pada sesi taklimat media mengenai garis panduan kandungan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Beliau berkata persoalan teras dalam pelaporan seharusnya sentiasa berkaitan sama ada sesuatu visual digunakan untuk memberi maklumat atau untuk membangkitkan emosi khalayak.

“Penilaian editorial tidak terhenti apabila nyawa mereka (mangsa) berakhir. Mereka masih berhak kepada privasi dan maruah. Persoalan mudah yang kami ajukan ialah, jika kita menggunakan gambar ini, adakah ia menghormati mangsa? Adakah ia menghormati si mati? Adakah ia menghormati keluarga?” katanya.

Selaras dengan piawaian global kewartawanan beretika, Mediha berkata bilik berita harus mengakui potensi mudarat kepada kakitangan mereka akibat pendedahan kepada kandungan grafik serta melaksanakan langkah proaktif untuk melindungi pasukan mereka.

“Apabila membuat laporan, anda mesti memahami bahawa imej boleh mendatangkan kesan lebih mendalam berbanding kata-kata. Ia boleh mencetuskan tekanan emosi kepada orang yang mungkin tidak mempunyai kaitan dan membuka luka lama. Persoalannya ialah sama ada gambar ini digunakan untuk memberi maklumat atau untuk membangkitkan emosi.

“Amalan terbaik bagi bilik berita termasuk mengehadkan pendedahan berulang kepada visual menyayat hati, penggiliran tugasan jika boleh dan mempunyai proses semakan serta kelulusan yang jelas supaya tiada siapa yang bertanggungjawab sendirian,” katanya.

Mediha berkata pembaikan teknikal seperti mengaburkan imej, selalunya tidak mencukupi kerana ahli keluarga masih boleh mengenal pasti orang tersayang melalui pakaian, tatu atau nombor plat kenderaan. Beliau mencadangkan pemotongan imej atau penggantian penuh imej sebagai alternatif yang lebih berkesan.

“Kami mempunyai gambar orang yang meninggal dunia, gambar kemalangan, tetapi kami mengaburkannya. Adakah itu mencukupi? Jika dilihat kepada piawaian antarabangsa dan piawaian Malaysia, pengaburan hanyalah langkah teknikal untuk menyelesaikan masalah etika.

“Apabila anda mengaburkan, ya, identiti tidak diketahui, tetapi ia tidak semestinya menghapuskan kesan negatif. Fikirkan tentang wajah mangsa kemalangan kereta yang dikaburkan, anda mengaburkan wajah tetapi anda masih boleh melihat darah, postur dan konteksnya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai Kod Kandungan Kebangsaan, iaitu satu set garis panduan yang menetapkan amalan terbaik dan piawaian beretika bagi penciptaan dan pengumpulan kandungan.

“Dalam jangka panjang, kepercayaan awam dibina bukan hanya berdasarkan apa yang anda tunjukkan, tetapi juga apa yang anda pilih untuk tidak ditunjukkan. Kredibiliti lebih berharga daripada penglibatan jangka pendek,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan