AM

FAHMI RAKAM TAKZIAH, SIFATKAN KEPIMPINAN DAN KOMITMEN TUN DR LING JADI INSPIRASI

04/04/2026 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Dedikasi, kepimpinan serta komitmen mendiang Tun Dr Ling Liong Sik dalam kerajaan akan sentiasa dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi merakamkan ucapan takziah kepada Toh Puan Ong Ee Nah serta seluruh ahli keluarga bekas Presiden MCA itu atas pemergian seorang tokoh politik yang disifatkan amat berjasa kepada negara.

Beliau berkata mendiang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia sepanjang hayatnya, termasuk ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan dari 1976 hingga 1982.

"Semoga Toh Puan serta keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini," katanya.

Dr Ling, 82, yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA meninggal dunia pagi ini.

Beliau antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan selain menerajui MCA selama 17 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan