GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 13,655 penagih dan penyalahgunaan dadah dikesan di Pulau Pinang sepanjang tahun lepas, menyaksikan 95.2 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 4.8 peratus melibatkan golongan wanita.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) mencatatkan kes tertinggi, iaitu 8,070 orang atau 59.1 peratus dengan golongan belia berumur antara 15 hingga 39 tahun merekodkan 5,539 kes, mewakili 76.4 peratus daripada keseluruhan pengguna ATS.
"Justeru, pemerkasaan Program SKUAD Antidadah Pulau Pinang terus diperkukuh sebagai platform kesukarelawanan belia, termasuk melalui penggunaan platform digital e-Skuad bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan dan kesedaran dalam komuniti," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri, di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.
Chow yang juga Pengerusi MTMD Pulau Pinang berkata pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) di semua 29 jabatan kerajaan negeri menunjukkan komitmen tinggi dalam membudayakan persekitaran kerja bebas dadah selaras dengan aspirasi melahirkan penjawat awam yang berintegriti, sihat dan produktif.
Beliau juga memaklumkan MTMD berperanan sebagai platform utama bagi menyelaras dasar, strategi dan pelaksanaan program antara agensi peringkat negeri dan daerah, dengan penekanan diberikan terhadap keperluan kerjasama strategik yang lebih padu dalam menghadapi cabaran semasa.
Chow berkata ia termasuk peningkatan rampasan dadah khususnya methamphetamine serta taktik sindiket yang semakin kompleks melalui rangkaian digital dan rentas sempadan.
Mesyuarat kali ini turut membentangkan dua kertas pertimbangan oleh AADK, iaitu Fokus Lima Tahun: Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), dan Laporan Impak Fokus Lima Tahun: Gerak SKUAD Antidadah ke Arah Pemerkasaan Kesukarelawanan Belia Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, dua kertas makluman melibatkan Laporan penyalahgunaan dadah dan bahan oleh AADK, dan Senario Tangkapan dan Rampasan Dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibentangkan.
-- BERNAMA
