AM

CANDAT DARAT LEBIH HEMAT, FENOMENA BAHARU DI TERENGGANU

07/04/2026 03:11 PM

CHUKAI, 7 April (Bernama) -- Terengganu sememangnya terkenal dengan aktiviti mencandat sotong sehinggakan perkhidmatan bot yang menawarkan pakej berkaitan menjadi rebutan pemancing dan pelancong setiap kali musim menangkap hidupan laut itu. 

Namun pada tahun ini, peminat aktiviti tersebut mempunyai pilihan yang lebih hemat dikenali sebagai “candat darat”, iaitu menangkap sotong di tepi pantai sehingga menjadi fenomena dalam kalangan penduduk setempat.

Seorang pemancing, Abdullah Hassan, 42, dari Paka, Dungun berkata kebanyakan penduduk mencandat sotong di kawasan tersebut dengan menggunakan sejenis umpan tiruan dikenali sebagai “egi” yang berbentuk seperti udang.

Beliau berkata aktiviti candat darat lazimnya hanya dapat dilakukan selama dua bulan bermula April, berbanding candat laut yang mempunyai tempoh lebih lama dari penghujung Mac hingga Ogos.

“Pada masa ini spesies sotong jarum mudah diperoleh kerana sotong berkenaan berada berhampiran pantai untuk mendapatkan makanan seperti udang dan anak ikan, selain untuk bertelur.

“Selain mencandat di pesisir pantai, jeti ini juga merupakan lokasi yang sesuai kerana orang ramai dapat berada ke tengah laut sedikit tanpa perlu menaiki bot,” katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Kijal di sini. 

Abdullah berkata candat darat kebiasaannya dilakukan dari 6 petang hingga 12 tengah malam memandangkan sotong aktif mencari makanan pada waktu tersebut.

Sementara itu, Mohd Ghazali Rahman, 51, dari Meraga Beris di Kijal dekat sini berkata lebih 100 pemancing akan memenuhi jeti sepanjang kira-kira 300 meter itu bagi melakukan aktiviti candat darat setiap hari.

Mohd Ghazali berkata beliau datang memancing di jeti tersebut sebanyak tiga kali sejak minggu lepas, dengan hasil tangkapan lebih 10 ekor sotong jarum pada setiap sesi selama tiga jam.

“Aktiviti candat darat semakin mendapat sambutan dalam kalangan pemancing kerana kosnya lebih rendah berbanding menyewa bot untuk mencandat di tengah laut," katanya.

Beliau berkata jeti berkenaan menjadi antara lokasi pilihan kerana suasana yang meriah dengan kehadiran ramai pemancing, selain beberapa pantai di Kemaman seperti Pantai Kerteh, Pantai Penunjuk dan Pantai Kuala Kemaman yang turut menjadi tumpuan. 

Dalam pada itu, seorang pesara tentera Said Nan, 66, berkata beliau dan isteri, Mek Kemas Mohamad, 58, sering menghabiskan masa lapang dengan memancing ikan dan ketam di Pantai Kijal sambil menikmati ketenangan suasana pantai.

Bagaimanapun katanya kerana sekarang musim sotong, beliau beralih mencandat walaupun hasil tangkapan tidak menentu.

“Ada hari dapat hasil yang banyak, manakala ada hari sedikit," katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan