DUNIA

IRAN PUTUSKAN DIPLOMASI LANGSUNG DENGAN AS SUSULAN KETEGANGAN MENJELANG TARIKH AKHIR TRUMP

08/04/2026 12:33 AM

ANKARA, 7 April (Bernama-Anadolu) -- Iran telah memutuskan komunikasi langsung dengan Amerika Syarikat (AS) susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk memusnahkan "seluruh tamadun" Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media pada Selasa.

Langkah itu dibuat menjelang tarikh akhir pada Selasa yang ditetapkan oleh Trump untuk kemungkinan mencapai persetujuan, sekali gus merumitkan usaha untuk mencapai kesepakatan namun tidak menamatkan rundingan yang sedang berjalan, lapor The New York Times yang memetik tiga pegawai Iran.

Menurut laporan itu, yang turut disahkan oleh The Wall Street Journal, pegawai berkata rundingan tidak langsung melalui orang tengah gencatan senjata masih diteruskan meskipun komunikasi langsung digantung.

Seorang pegawai berkata keputusan Iran itu bertujuan menghantar "isyarat bantahan dan keengganan mengalah" sebagai tindak balas terhadap ancaman berkenaan.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada komunikasi langsung antara Tehran dan Washington akan disambung semula sebelum tempoh akhir itu tamat.

Pihak Rumah Putih tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.

Terdahulu, Trump memberi amaran bahawa "seluruh tamadun akan musnah  malam ini, dan tidak akan dapat dikembalikan semula" - kenyataan yang mencetuskan pelbagai spekulasi ketika tarikh akhir pukul 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu) yang ditetapkannya untuk Iran semakin hampir.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan