KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Parlimen Malaysia meneruskan komitmen dalam memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin kematangan demokrasi negara menerusi Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Parlimen, hari ini.
Menurut kenyataan Parlimen Malaysia, program bertemakan “Wanita Mematangkan Demokrasi” itu berlangsung di Dewan Bankuet, Blok Utama, Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Kesaksamaan Gender (APPGM-GE), Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Parlimen Malaysia dalam memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin kematangan institusi demokrasi negara, selaras dengan usaha memperkasakan penyertaan inklusif wanita dalam pelbagai peringkat, proses pembuatan dasar dan tadbir urus negara,” menurut kenyataan itu.
Program itu turut menghubungkan pemimpin wanita pada peringkat akar umbi secara langsung ke dalam ekosistem pembuatan dasar nasional, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 5.5 yang menekankan penyertaan penuh wanita dalam kepimpinan.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng, yang turut melancarkan buku amalan terbaik bertajuk “From Ground to Greatness: Malaysian Grassroots Transformations Under APPGM-SDG”.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan serta proses pembuatan dasar negara, selain menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu memperluas penyertaan wanita pada semua peringkat.
-- BERNAMA
