EKONOMI

U MOBILE, TM MULA MESYUARAT PERTAMA KERJASAMA 5G, PERJANJIAN SEDANG DIMUKTAMADKAN

07/04/2026 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) mengadakan mesyuarat permulaan bagi projek kerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) semalam, susulan pemeteraian perjanjian borong 5G selama tiga tahun pada Februari 2026. 

Walaupun tiada banyak maklumat dikongsi mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata kedua-dua pihak sedang memuktamadkan perjanjian itu, dan U Mobile berada di landasan yang tepat untuk menyediakan rangkaian 5G kepada TM. 

“Kami baharu sahaja mengadakan mesyuarat permulaan pertama semalam. Kini (kami) sedang memuktamadkan perjanjian dan kami berada di landasan yang betul untuk menyediakannya kepada TM,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran produk ULTRA5G U Mobile di sini, hari ini.

Pada 25 Februari lepas, U Mobile mengumumkan bahawa syarikat itu telah menandatangani kontrak borong 5G selama tiga tahun dengan TM untuk menyediakan perkhidmatan Rangkaian Teras 5G Berbilang Operator (MOCN) kepada TM.

Mengenai pengunduran U Mobile daripada perjanjian pemegang saham (SHA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) tahun lepas, Woon berkata syarikat itu telah mengeluarkan satu lagi notis kepada DNB untuk menamatkan rangkaiannya secara berperingkat, dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai. 

Terdahulu, pada 14 Mei 2025, U Mobile mengumumkan bahawa ia akan menarik diri daripada SHA dengan DNB apabila menjual keseluruhan 100,000 sahamnya di dalam DNB pada harga RM100,000. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile Navin Manian berkata syarikat itu sedang berusaha untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor peruncitan di Malaysia. 

“Dua tahun lepas, kami hanya mempunyai 10 cawangan di Malaysia dan hari ini, kami telah memiliki 32 cawangan di seluruh negara,” katanya sambil menambah bahawa syarikat itu menyasarkan untuk menambah jumlahnya kepada 50 cawangan menjelang akhir tahun ini. 

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan